Sayu : Dua beradik rentung 
di rumah pusaka hanya tinggal cebisan badan terbakar

Tumpat : Dua beradik rentung selepas rumah mereka di Kampung Neting, Pengkalan Kubor di sini terbakar malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa, Mohd. Zulhilmi Ashari, 33, dan adiknya, Mohd. Narullah, 23, ditemukan rentung dalam bilik bera­singan.

Rumah pusaka tersebut hanya didiami oleh kedua-dua mangsa selepas kedua ibu bapa mereka meninggal dunia manakala lima lagi adik beradik mereka tinggal berasingan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Na­zah Nafi berkata, ketika pihaknya tiba di tempat kejadian, rumah tersebut telah terbakar kira-kira 80 peratus.

Katanya, api marak dengan cepat disebabkan sebahagian rumah tersebut diperbuat dari kayu.

“Kita terima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.14 tengah malam dan tiba ke lokasi dua minit kemudian.

“Sebanyak 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Tumpat dan Bomba Bantuan digerakkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, jiran mangsa, Mohamad Yaacob, 64, membe­ritahu, kejadian itu disedarinya selepas mendengar letupan kecil sebelum orang ramai datang memberitahu ada kebakaran.

Menurutnya, dia bergegas keluar dan mendapati api sudah marak membakar rumah yang dihuni mangsa.

Tambahnya, beberapa penduduk kampung berusaha menyelamatkan dua beradik itu de­ngan menendang pintu tetapi tidak dapat masuk ke dalam rumah kerana api semakin marak.

“Jiran-jiran kemudiannya terus memanggil nama dua beradik itu dengan harapan mereka sedar daripada tidur dan keluar menyelamatkan diri tetapi hampa. Mereka tidak menyahut, jiran-jiran terpaksa berundur kerana bahang api semakin panas,” ujarnya.-UTUSAN 

0 Response to "Sayu : Dua beradik rentung 
di rumah pusaka hanya tinggal cebisan badan terbakar"

Post a Comment