Myvi gaya Bumblebee


Watak Bumblebee dalam filem animasi Transformers menjadi inspirasi kepada pemilik Perodua Myvi dalam ruangan Modifikasi minggu ini untuk mengubah suai kereta kesayangannya mirip Chevrolet Camaro.
Sanjay Sivalingam, 24, berasal dari Banting, Selangor mengambil masa setahun untuk merealisasikan impiannya bagi menghasilkan jentera berkenaan.
Bermula dengan membuang komponen bahagian luar untuk ‘membogelkannya’, kini jentera itu diselaputi kaca gentian sepenuhnya yang ditempah khas mengikut rekaan Chevrolet Camaro.
Sanjay berkata, dia meniru rekaan Chevrolet Camaro dalam laman sesawang sebelum mengubah balik lakaran untuk bersesuaian dengan Perodua Myvi.
“Tiada yang mustahil dalam menghasilkan jentera ini, cuma perlu mengambil masa lama untuk membuat acuan dengan menggunakan kaca gentian.
“Bagi menyiapkan komponen seakan-akan Bumblebee, ia mengambil masa hampir lapan bulan, manakala empat bulan lagi bagi proses mengecat dengan kombinasi warna kuning dan jalur hitam,” katanya.
Sanjay berkata, hampir 100 peratus komponen luaran jentera itu dipenuhi material kaca gentian dan hanya bahagian belakang, terutama lampu, masih menggunakan komponen asal Perodua Myvi.
Katanya, ketinggian kenderaan direndah menggunakan suspensi boleh laras GAB serta tampak lebih sporty selepas padanan rim Hamann bersaiz 18 inci.
“Biarpun ia jentera sporty, bahagian dalam diceriakan produk VIP untuk memberi kelainan, selain menerapkan imej mewah serta premium.
“Bagi memasuki ruang kokpit, saya menggunakan pintu gunting untuk kelihatan agresif, lebih-lebih lagi kenderaan ini kerap menyertai pertandingan autoshow dalam kategori ekstrem,” katanya.
Sanjay berkata, ruang but belakang pula dilimpahi lapan pembesar suara pelbagai saiz jenama Prokick dan Teac, selain dilengkapi skrin LCD 19 inci Toshiba.
Menurutnya, jenteranya masih dalam proses modifikasi dan kini berbaki 40 peratus untuk memperkemaskan ruang kokpit serta bahagian belakang kenderaan.
SPESIFIKASI:
KOS: RM40,000
UBAH SUAI LUARAN:
- Bampar depan dan belakang tempahan khas
- Bonet depan tempahan khas
- Pintu gunting
- Spoiler belakang tempahan khas
- Lampu projektor HID
- Suspensi boleh laras GAB
UBAH SUAI DALAMAN:
- Bumbung dalam dibalut semula dengan konsep VIP
- Tombol gear VIP
- Pembalut stereng VIP
- Papan pemuka direka semula dengan menggunakan gentian kaca
- Meja gentian minuman di ruang penumpang depan
RIM DAN TAYAR:
- Rim 18 inci Hamann
- Tayar Achilles Radial ATR Sport
EKZOS:
- 4-2-1 dan peredam Apexi
AUDIO:
- Dua woofer, dua hon twiter dan empat mid bass
- Amplifier Kole Audio

                                                                                               Artikel ini disiarkan pada : 9 Sep 2015


0 Response to "Myvi gaya Bumblebee"

Post a Comment