Ikat Jamin Kamal Hisham Jaafar RM200,000.



JOHOR BAHRU - Peguam Kamal Hisham Jaafar, 45 dibenarkan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini bagi enam tuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi turut mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain dikehendaki melapor diri di Balai Polis Majidee setiap minggu.

Keputusan itu dibuat selepas hakim mendengar hujahan Ketua Unit Pendakwaan Johor, Saiful Edris Zainuddin selaku pihak pendakwaan dan pihak pembelaan yang diketuai Datuk Hazman Ahmad.

Selasa lalu, Kamal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas empat tuduhan dan dua pertuduhan alternatif kerana menyalahguna kedudukan selaku pengarah syarikat berhubung penyewaan ruang niaga di JB Sentral antara 2009 dan 2011.

Saiful Edris dalam hujahannya memohon mahkamah agar tidak membenarkan ikat jamin kerana bimbang tertuduh mempunyai kecenderungan untuk melarikan diri.

Hazman Ahmad bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan  budi bicara membenarkan jaminan berikutan kes yang didakwa ke atasnya tidak membabitkan jenayah keganasan selain pasportnya telah diserahkan kepada mahkamah atas perintah bagi kes terdahulu.

Hazman turut merayu agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Hakim menetapkan tarikh 11 Oktober ini sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Nuriza Mustafa membenarkan menyambung semula reman selama empat hari ke atas tertuduh sehingga Isnin ini bagi dua kes di bawah Seksyen 409 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

4 September lalu, Mahkamah Majistret membenarkan tahanan reman selama seminggu terhadap Kamal bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 dan 420 Kanun Keseksaan membabitkan kes pecah amanah dan penipuan.

Related Posts :

0 Response to "Ikat Jamin Kamal Hisham Jaafar RM200,000."

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect